Full Screen || Normal Screen 3,500 pasangan kahwin serentak

3,500 pasangan kahwin serentak


BERIBU-RIBU pasangan menyertai majlis perkahwinan beramai-ramai oleh Gereja Penyatuan di Pusat Keamanan Dunia Cheongshim di Gapyeong, kira-kira 60 kilometer timur laut Seoul, Korea Selatan semalam. - REUTERS


KOSMO: 18 Februari, 2013

GAPYEONG: Seramai 3,500 pasangan pengantin terdiri daripada ahli Gereja Penyatuan di Korea Selatan melangsungkan perkahwinan dalam satu majlis di sini semalam.

Majlis perkahwinan beramai-ramai itu adalah yang pertama diadakan sejak kematian pengasas ajaran Kristian berkenaan, Sun Myung Moon pada 3 September tahun lalu.

Myung Moon sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mengakui dirinya sebagai penyelamat manusia sejagat.

Pengantin-pengantin tersebut datang dari seluruh dunia untuk disatukan di ibu pejabat Gereja Penyatuan di timur ibu kota Korea Selatan, Seoul.

Sebelum ini, perkahwinan serentak melibatkan puluhan ribu pasangan dengan sebahagiannya berlangsung di stadium-stadium telah menjadi ciri utama ajaran Gereja Penyatuan.

Acara perkahwinan beramai-ramai itu bermula pada awal 1960-an melibatkan 24 pasangan dengan 12 pasangan suami isteri turut memperbaharui ikrar perkahwinan mereka.

Jumlah mereka yang menyertai majlis tersebut terus meningkat dari tahun ke tahun.

Pada 1997, seramai 30,000 pasangan berkahwin dalam majlis Gereja Penyatuan di Washington, manakala 21,000 pasangan lagi disatukan di Stadium Olimpik di Seoul dua tahun kemudian.

Pasangan yang memilih untuk dikahwinkan oleh gereja tersebut perlu melafazkan sumpah bahawa mereka masih perawan dan perlu menahan diri daripada melakukan hubungan seks untuk sekurang-kurangnya 40 hari selepas bergelar pasangan suami isteri. – AFP

Artikel ini disiarkan pada : 18/02/2013