Full Screen || Normal Screen Paksa anak lahir

Paksa anak lahir

Hmetro: 1 Januari, 2013

JOHOR BAHRU: Puluhan pasangan suami isteri di bandar raya ini dikatakan sanggup membelanjakan kira-kira RM8,000 bagi melahirkan anak mereka pada hari tahun baru kerana beranggapan ia tarikh keramat dan istimewa serta mampu mempengaruhi kanak-kanak berkenaan menjadi seorang manusia yang hebat.

Berbeza dengan kepercayaan masyarakat Cina yang mahu bersalin pada tahun naga, kepercayaan baru ini diguna pakai semua kaum menyebabkan mereka sanggup menghabiskan ribuan ringgit bagi mengatur pembedahan pada tarikh ditetapkan selepas mendapat nasihat doktor di hospital atau pusat bersalin swasta.

Menceritakan pengalaman melahirkan anak menerusi pembedahan pada tarikh dipilih keluarga, seorang suri rumah, Zaleha Abdullah, 40, berkata dia dan suaminya menimang cahaya mata ketiga pada 1 Januari 1999.

Katanya, secara kebetulan anak dalam kandungannya itu sudah berusia sembilan bulan dan doktor pada mulanya meramalkan anak akan dilahirkan pada 5 Januari 1999.

“Namun, saya dan suami yang bekerja sebagai jurutera memilih 1 Januari untuk melahirkan anak kerana beranggapan ia tarikh istimewa sempena tahun baru.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.



‘Usah campur urusan Allah’

JOHOR BAHRU: “Jangan campur urusan Allah. Perbuatan melahirkan bayi mengikut tarikh disukai itu khurafat, haram dan boleh menjejaskan akidah kerana melebihi hukum Allah SWT,” kata Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij), Datuk Nooh Gadut, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas trend terkini segelintir pasangan suami isteri yang sanggup melakukan pembedahan supaya dapat melahirkan anak mengikut tarikh tertentu seperti mengikut urutan 10.11.2012; 12.12.2012 atau 1.1.2013.

Selain bertujuan mengabadikan tarikh cantik berkenaan, segelintir pasangan juga percaya kononnya tarikh dipilih itu bertuah atau keramat hingga mempengaruhi pembesaran anak mereka.

Mengulas lanjut fenomena itu, Nooh berkata, kepercayaan itu tidak betul dan boleh memesongkan akidah.

“Perbuatan itu jelas khurafat dan seolah-olah lebih mengetahui daripada Allah. Zaman dulu tidak ada berlaku perkara ini kenapa sekarang nak lawan hukum Allah? Sebagai umat Islam, kita harus percaya kepada qadak dan qadar Allah. “Memang sudah termaktub dalam al-Quran soal kelahiran, rezeki Allah yang tentukan dan setiap apa yang Allah tentukan adalah yang terbaik buat kita,” katanya.

Sehubungan itu, menurut Nooh, umat Islam digalakkan berdoa kepada Allah jika mengharapkan sesuatu.

“Meminta dengan Allah tak apa, jangan sampai membuat pembedahan melainkan sakit atau perlu dilakukan kerana sudah tiba masa untuk melahirkan anak.

“Harus diingat, perbuatan memudaratkan diri iaitu dengan sengaja mendatangkan sakit melalui pembedahan yang dirancang sebenarnya haram,” katanya.



Berdepan risiko maut

JOHOR BAHRU: Ibu mengandung yang memilih untuk melakukan pembedahan secara paksaan bagi mendapatkan kelahiran bayi mengikut tarikh pilihan, berdepan risiko maut atau kesan sampingan sepanjang hayat.

Kegilaan melakukan pembedahan di kalangan pasangan suami isteri untuk melahirkan anak mengikut tarikh tertentu seperti 1.1.11 (2011); 12.12.12 (2012) dan 1.1.13 (2013), sebenarnya mendedahkan ibu berkenaan kepada pelbagai risiko kesihatan berbanding bayi yang dilahirkan kelak.

Mengulas perkara itu, Pakar Sakit Puan Hospital Pakar Johor, Dr K Mohan Raj, berkata jika bayi yang dikandung sudah cukup matang iaitu 38 minggu ke atas, tidak menjadi masalah untuk bayi itu dilahirkan walaupun melalui pembedahan secara pilihan.

Menurutnya, ini kerana bayi yang cukup tempoh matangnya boleh dilahirkan pada bila-bila masa, namun cara pembedahan mengikut pilihan pesakit ini lebih berisiko kepada ibu disebabkan pelbagai kesan sampingan pembedahan itu sendiri.

“Apa-apa pembedahan mempunyai risiko terutama kesan bius, selain luka daripada pembedahan yang dijalankan itu.

“Selain itu, kesan lebih teruk ialah ketika ibu berkenaan mengandungkan bayi akan datang kerana ibu itu mungkin mengalami komplikasi akibat pembedahan yang dilakukan secara paksa,” katanya. “Saya sendiri pernah beberapa kali menjalankan pembedahan terhadap pesakit yang memilih melakukan pembedahan untuk mendapatkan bayi pada tarikh tertentu dan ia berjalan lancar,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Dr Mohan berkata, selain melakukan pembedahan secara paksaan cara lain yang boleh melahirkan bayi mengikut tarikh atau masa dikehendaki adalah memasukkan ubat.

Artikel ini disiarkan pada : 01/01/2013