Full Screen || Normal Screen Nenek tiga cucu antara 70 calon matang duduki SPM di Kedah

Nenek tiga cucu antara 70 calon matang duduki SPM di Kedah


Hasanah (kanan) menjawab soalan pada peperiksaan SPM di SMK Guar Chempedak. FOTO Lim Poh Chin


HMetro: 6 November, 2012

YAN, Kedah: Seorang nenek yang mempunyai tiga cucu merupakan antara 70 calon 'matang' yang mengambil peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Chempedak dekat sini, hari ini.

Kesemua calon matang itu adalah guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) berusia antara 30-an hingga 55 tahun.

Hasanah Abdullah, 55, guru Kafa di Masjid Al-Amin, Sungai Layar, Sungai Petani berkata beliau gembira kerana berjaya mencapai impiannya untuk mengambil peperiksaan itu sejak 38 tahun lepas.

Katanya kematian ibu ketika berusia 15 tahun dan masalah kewangan menyebabkan impiannya untuk mengambil peperiksaan itu seperti rakan sebayanya yang lain ketika berumur 17 tahun terkubur.


"Selepas ibu meninggal, saya mengambil tugas ibu menjaga adik-adik yang ketika itu masih kecil. Setiap tahun saya akan menangis dan meminta izin daripada bapa agar membenarkan saya bersekolah semula kerana mahu menduduki SPM," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sekolah itu, hari ini.


Hasanah yang tinggal di Sungai Layar, Sungai Petani dan mempunyai enam anak, mengambil mata pelajaran teras dengan tambahan Bahasa Arab.

Hasanah yang belajar di sekolah swasta, Sekolah Menengah Langkasuka, Guar Chempedak berkata beliau mahu lulus cemerlang dalam peperiksaan SPM untuk mengejar cita-cita masuk ke universiti.

Walaupun terpaksa menduduki SPM pada usia yang lewat namun ia bukan penghalang demi menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan prestasi akademik, katanya.

Bagi Mahmud Sri Wijaya Othman, 48, guru Kafa di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Dawai, Sungai Petani pula, beliau tidak berasa kekok untuk berada di dewan peperiksaan demi menimba ilmu.

Bapa kepada lima orang anak itu menjadikan anak sulungnya, Al-Kausar, 18, sebagai pendorong untuknya berjaya dalam SPM.

"Dahulu saya hanya bersekolah sehingga darjah enam sahaja, kemudian sambung ke sekolah Arab dan tidak pernah mengambil peperiksaan SPM. Saya bersyukur kerana anak saya sering membantu terutama dalam mengulang kaji pelajaran dan keluarga menjadi pembakar semangat untuk saya cemerlang dalam SPM," katanya.

Pemangku Pengetua SM Langkasuka, KS Maniam berkata pada tahun ini seramai 147 pelajar sekolah itu termasuk 70 guru Kafa dan enam jururawat menduduki peperiksaan SPM manakala bakinya calon mengulang semula SPM.

Beliau berkata calon yang terlibat tidak hanya membabitkan daerah Yan malah mereka dari serata daerah di negeri ini termasuk Sik, Pendang dan Kuala Muda. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/06


Nenek nanti 40 tahun duduki SPM


Hasanah (kanan) menjawab soalan ketika menduduki SPM di SMK Guar Chempedak, semalam


BHarian: 6 Novrmber, 2012

Hasanah hanya tamat Tahun Enam untuk jaga adik selepas kematian ibu

Yan: Penantian seorang nenek tiga cucu untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak 40 tahun lalu, tercapai semalam.

Hasanah Abdullah, 55, menduduki peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Chempedak, di sini, sebagai calon persendirian.

Beliau yang juga guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Masjid al-Amin Sungai Layar, Sungai Petani adalah seorang daripada 147 calon persendirian dari Sekolah Menengah Langkasuka (SML), Guar Chempedak, yang menduduki SPM di negeri ini.


Detik bersejarah


Hasanah ketika ditemui menyifatkan ia detik paling bersejarah dalam hidupnya selepas beberapa kali gagal untuk mengambil peperiksaan yang ketika itu dikenali sebagai Malaysia Certificate of Education (MCE) kerana perlu memikul tanggungjawab menjaga enam adiknya selepas kematian ibu ketika berusia 15 tahun.

Beliau berkata, dia hanya sempat bersekolah sehingga Tahun Enam sebelum diminta berhenti sekolah oleh bapanya kerana beberapa faktor termasuk keadaan keluarga yang susah ketika itu.

Katanya, sejak itu dia tetap menyimpan hasrat untuk mengambil MCE namun niat itu terpaksa dilupakan apabila ibunya meninggal dunia.

Pujuk ayah ambil MCE


“Saya sering memujuk ayah untuk membenarkan saya mengambil MCE namun beliau tidak membenarkannya kerana saya perlu menjaga adik-adik yang masih kecil dan memerlukan perhatian ketika itu.

“Walaupun hati teringin untuk mengambil MCE, saya terpaksa memendamkannya kerana tidak mahu menyusahkan keluarga dan adik-adik yang amat memerlukan saya ketika itu,” katanya ketika ditemui sebelum melangkah masuk dewan peperiksaan di sini, semalam.

Mengenai peluangnya, Hasanah, yang mengambil subjek teras dengan tambahan Bahasa Arab dan Tasawur Islam yakin mampu menempuh SPM.

Rabun bukan penghalang


Di Rantau Panjang, rabun teruk sejak dilahirkan tidak menghalang Mohd Affandi Arifin, 17, untuk menduduki SPM.

Pelajar aliran sains tulen Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang (SMKRP) itu mendaftar untuk menduduki 10 subjek dan berazam memperoleh keputusan terbaik.

“Penyakit rabun ini menyebabkan saya diberi kertas soalan peperiksaan yang bersaiz lebih besar daripada calon lain untuk memudahkan membaca,” katanya anak sulung daripada empat beradik itu.

“Cabaran yang saya hadapi adalah apabila menggunakan buku rujukan dan latihan sama seperti pelajar normal iaitu bertulisan kecil, saya perlu membaca dengan mendekatkannya ke muka selain terpaksa meminjam nota daripada kawan bagi menyalin nota yang ditulis guru di hadapan kelas.

Di Georgetown, empat calon, termasuk dua perempuan, menduduki kertas Bahasa Malaysia (BM) 1 dan 2 di Hopital Pulau Pinang (HPP).

Nurfatin Najwa Mohd Fuad dari Penaga baru saja selesai menjalani pembedahan apendiks beberapa hari lalu, manakala seorang lagi calon, Hanif Mohd Shaferi dari Balik Pulau kemalangan jalan raya bulan lalu.

Di Ipoh, 19 anggota Tentera Darat menduduki SPM daripada keseluruhan 44,291 calon yang mengambil peperiksaan itu di Perak.

Mereka yang berusia antara 23 hingga 27 tahun hadir ke dewan peperiksaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, di sini, seawal jam 7 pagi dengan lengkap berpakaian seragam.

Kehadiran mereka, sebagai calon persendirian, menarik perhatian lebih 150 calon yang menduduki SPM di sekolah itu.

Bukti kemampuan diri


Mohd Azree Mohd Fauzi, 27, dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Kem Sangro, Taiping mengakui teruja untuk menduduki peperiksaan itu selepas hampir 10 bulan menelaah pelajaran di Kem 2 Briged, di sini.

Beliau yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan berkata mula memasuki Pusat Pendidikan Wilayah (PPW) 2 Briged selepas melepasi tapisan untuk menjalani program pembelajaran di kem berkenaan.

“Selepas hampir tujuh tahun berkhidmat, sudah tiba masanya untuk saya membuktikan kepada keluarga bahawa saya mampu menduduki peperiksaan itu walaupun hanya menamatkan persekolahan di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR),” katanya.