Full Screen || Normal Screen
Robot ganti pelajar

Robot ganti pelajar


Robot yang mengantikan Devon Carrow-Sperduti


Utusan: 2 Oktober, 2012
ARKIB : 02/10/2012

BUFFALO 1 Okt. - Seorang kanak-kanak Amerika Syarikat (AS) muncul pengguna pertama robot interaktif digelar ?Roboswot?, apabila kehadirannya ke kelas terpaksa diganti mesin tersebut berikutan masalah kesihatan.

Mesin berkenaan perlu menggantikan Devon Carrow-Sperduti, 7, ke sekolah, kerana dia menderita penyakit alergi yang boleh membahayakan nyawanya jika bercampur dengan kanak-kanak lain.

Bukan setakat itu, dia juga terpaksa menghabiskan kebanyakan masanya bersendirian dengan hanya dibenarkan makan epal, bijirin dan kentang.

Menerusi Roboswot yang bernilai AS$3,000 (RM9,000), murid tersebut mampu menghadiri semua kelasnya, menjawab soalan cikgu serta berbual dengan rakan-rakan sekelasnya walaupun hanya dengan berada di rumah.

Malah, robot ciptaan syarikat Vgo Communications Inc di New Hampshire berkenaan turut dilengkapi skrin yang memaparkan muka kanak-kanak itu, menggunakan teknologi kamera web yang dihubungkan dengan komputernya di rumah.

Carrow-Sperduti hanya perlu duduk di rumahnya di Buffalo dan menggunakan komputer untuk mengawal Robotswot yang membolehkan dia melihat cikgu, papan hitam dan keadaan sekeliling kelas.

Robot itu juga membolehkan Carrow-Sperduti ?berjalan? di sepanjang koridor sekolah dan menyertai rakan sekelasnya di taman permainan.

Ibu Carrow-Sperduti, Rene berkata, Roboswot boleh dianggap sebagai pengganti diri anaknya.

?Anak saya melakukan semua perkara dan kerja sekolah seperti kanak-kanak lain, yang membezakan mereka adalah Carrow-Sperduti tidak berada di dalam kelas," katanya. - AGENSI



Untuk lihat video, klik video di bawah