Full Screen || Normal Screen
Kahwin budak 11 tahun tidak sah

Kahwin budak 11 tahun tidak sah

Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankelantan@utusan.com


SITI Sarnan Mat Ail memimpin tangan anaknya sambil diiringi suaminya,
Salleh meninggalkan Mahkamah Tinggi Syariah di Kota Bharu, Kelantan, semalam.


Utusan: 22 Disember, 2010

KOTA BHARU 22 Dis. – Tekanan yang ditanggung oleh seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun selama lapan bulan selepas didakwa dinikahkan oleh ayahnya sendiri dengan lelaki berusia 41 tahun, terlerai hari ini apabila Mahkamah Tinggi Syariah di sini memutuskan perkahwinan mereka tidak sah.

Keputusan tersebut disambut dengan linangan air mata kesyukuran oleh ibu kanak-kanak terbabit, Siti Sarnan Mat Ail, 42, selaku plaintif yang memfailkan permohonan membatalkan perkahwinan berkenaan.

Dalam permohonan itu, plaintif menamakan suaminya, Hussin Salleh, 54, defendan pertama manakala lelaki yang dikatakan bernikah dengan anaknya, Shamsudin Che Deraman atau dikenali sebagai ‘Sudin Ajaib’ defendan kedua.

Kanak-kanak tersebut yang hadir di mahkamah dengan memakai baju kurung biru berbunga merah dan bertudung warna krim dilihat resah di galeri awam sementara menunggu keputusan dibacakan.

Dalam keputusannya, Hakim Syarie, Abdullah Man berkata, mahkamah mendapati tidak ada asas untuk membatalkan perkahwinan tersebut kerana ia tidak mempunyai dokumen yang sah serta sijil nikah.

‘‘Pernikahan antara kedua-duanya hanya dakwaan pihak plaintif kerana tidak disokong dokumen yang lengkap untuk menjelaskan wujudnya pernikahan tersebut.

‘‘Bagaimanapun mahkamah mengambil kira peranan wali mujbir iaitu ayah kepada kanak-kanak tersebut yang mempunyai hak mengahwinkan anak perempuan mereka tanpa mengira usia. Persoalannya jika mengikut hak wali mujbir apakah perkahwinan itu sah atau tidak,’’ katanya.

Abdullah menegaskan, berdasarkan keterangan defendan dalam perbicaraan yang lepas, timbul perkara-perkara berunsur penipuan, paksaan dan ugutan semasa pernikahan itu berlangsung.

‘‘Mahkamah mendapati wali semasa memberi keterangan balas, seorang yang ‘betul’, tidak pandai beralasan dan hanya mengikut telunjuk orang lain, seolah-olah tidak mempunyai pegangan.

‘‘Walaupun wali terlibat dalam pernikahan tersebut tetapi tidak mempunyai niat untuk mengahwinkan anaknya itu,’’ ujar beliau.

Sehubungan itu, katanya, perkahwinan tersebut tidak sah mengikut hukum syarak dan Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002.

Abdullah sebelum itu turut mengesahkan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan membatalkan pernikahan yang didakwa berlangsung pada 19 Februari lalu walaupun defendan kedua tidak pernah hadir ke mahkamah.

Katanya, akad nikah didakwa berlangsung sebanyak dua kali iaitu pertama kali di Madrasah Pakistan di Machang dan disusuli di sebuah hotel, Berek 12 di sini.

‘‘Plaintif mendakwa ketika akad nikah berlangsung, anaknya itu tidak ada bersama-sama dengan defendan sebaliknya ada bersamanya di kampung Jelawang, Dabong, Kuala Krai.

‘‘Apabila pulang ke rumah, defendan membawa anaknya keluar dan tidak pulang. Selepas empat hari keluar dari rumah mereka, plaintif diberitahu oleh suaminya, anaknya itu telah dinikahkan dengan Sudin Ajaib,’’ katanya.

Menurut Abdullah lagi, kanak-kanak itu kemudian ditemui seorang diri dalam keadaan lesu di sebuah madrasah di Batu Caves, Selangor pada 12 Mac lalu dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh selama lima hari kerana mengalami tekanan.

Katanya, permohonan plaintif dikemukakan dengan alasan anaknya itu masih muda dan tidak tahu tanggungjawab sebagai seorang isteri manakala Shamsudin telah pun mempunyai tiga isteri serta tidak bekerja.

Menurut beliau, perkara itu disokong oleh isteri pertama Shamsudin, Rohana Ibrahim, 34, yang mengesahkan suaminya telah berkahwin tiga dan mengikuti kumpulan tabligh.

Sementara itu, Siti Sarnan yang diwakili peguam syarie, Mohd. Zaki Zainal Abidin ketika ditemui di luar mahkamah, melahirkan rasa syukur dengan keputusan tersebut dan berharap Shamsudin tidak lagi mengganggu hidup anaknya.

‘‘Syukur banyak-banyak kerana apa yang saya tuntut bagi pihak anak saya selama ini telah selamat, tidak ada apa-apa lagi hubungan antara Sudin dengan anak saya.

‘‘Saya tidak berdendam namun berharap Sudin jangan ganggu anak saya malah sejak perkara ini dihebahkan, dia juga ghaib begitu sahaja,’’ katanya.

Tambahnya, apa yang berlaku akan dijadikan pengajaran dan tugasnya kini menyekolahkan anaknya itu dan memastikan dia berjaya dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun hadapan.

Hussin yang mengahwinkan anaknya itu pula berjanji akan lebih berhati-hati dalam urusan menjodohkan anaknya pada masa depan.